Khamis, 30 Disember 2010

2010/2011

2010,
Tahun ini ada banyak hal tak duga,
Banyak hal yang tak tersangkakan tiba-tiba ada.

Ini tahun habis belajar, tahun mula kerja,
Tak ada yang lain cuma mungkin waktu keluar-balik rumah sudah sedikit beza.
Hujung minggu masih sama, cuma mungkin dahulu hujung minggu aku antara KL-Melaka.
Satu yang pasti, aku rindu Melaka.
Disana seperti ada satu magis yang mampu buat hati gembira.
Betul, aku tak tipu.

Tahun ini juga tahun paling gila,
Hubungan 5 tahun aku tamatkan juga akhirnya,
Bekas kekasih, cari sikit ruang di hati kamu untuk maafkan aku, satu hari nanti.

Dan untuk si Teman Jiwa yang ada nun jauh di utara bintang,
Aku langsung tak jangka akan wujudnya kita,
Tak pernah terlintas walau sekali jua tangan kita akan menggenggam-sama,
Tapi, barangkali ketak-terjangkaan itu yang buat kamu jadi yang paling manis dalam dunia,
Sumpah, kamu anugerah terindah yang pernah aku punya,
Terima kasih untuk jadikan aku yang terpaling bahagia.
Temani aku lama lagi, aku mohon.

Untuk tahun 2011,
Aku cuma harap tak akan wujud sebarang masalah seperti tahun-tahun yang sudah.

Selasa, 21 Disember 2010

Belakangan ini.



Belakangan ini,
Bintang di langit sering buat
aku senyum sendiri.

Sudah gila barangkali.

*senyum*


Photo Credit Robert Gendler

Isnin, 20 Disember 2010

Hana Tajima


Manusia popular pertama yang aku sanggup kejar semata nak bergambar.


Terjumpa Hana Tajima di Ikea buat aku rasa bangga tak memasal.

Khamis, 16 Disember 2010

Selamat Setengah Tahun, Kekasih.

Untuk kekasih paling manja dalam dunia,
Selamat setengah tahun.
Temani aku lama lagi.

Sabtu, 11 Disember 2010

cerita teh manis dan kopi pekat likat

Dari mula aku diizin ibu untuk teguk air bergula.
Dari mula aku dibenar rasa bukan cuma air kosong semata.
Yang diteguk aku cuma teh manis.
Dari usia berapa juga aku lupa.
Tapi memang cuma teh manis.

Bertahun dengan teh manis buat aku terbiasa..
Berapa harus diletak gulanya.
Berapa suhu air yang harus diguna.
Berapa minit waktu rendamannya.
Semua aku cukup arif.
Semua aku cukup terbiasa.
Dan kebiasaan yang ini memang langsung tak aku rasa mahu diubah dimana.
Rasa diberi teh manis cukup sempurna.

Hinggalah,
Satu malam,
Tarikhnya aku lupa,
Diumur dua puluh tiga,
Aku terteguk kopi pekat likat.
Tanpa sengaja.
Sejak itu tiap deria rasa aku melaju cepat.
Tiap ruang rasional aku mula hilang wajar.
Rasanya tak sama seperti teh manis.

Aku ketagih.

Rabu, 8 Disember 2010

Kisah Si Esah.

Ini kisah tentang Si Esah yang punya berat 60kg dengan yakin diri yang sangat tinggi. Si Esah dulu pernah dihantar tinggal di bulan. Dibiarkan hidup berteman bintang-bintang. Dibiar bertatapan dengan matahari terang. Dibiar lena diulit angkasa kelam.

Ya, Si Esah ini dulu pernah tinggal dibulan. Dahsyat bukan? Aku juga tak pasti berapa lama Si Esah diizin tuhan merasa nikmat di bulan.

Tapi,

Di suatu ketika yang entah bila, Si Esah tiba-tiba minta dibawa pulang ke bumi. Entah apa punca. Entah apa musabab. Di suatu ketika itu, Si Esah tiba-tiba jadi tak betah di bulan.

Katanya, angkasa terlampau kelam, dia tak mampu melihat terang.
Katanya lagi, matahari menghaba bahang, dia kepanasan.
Katanya lagi, bintang kadang-kadang suram, dia penat meraba dalam kegelapan.

Maka, diutus surat oleh Si Esah kepada tuhan. Minta dihantar pulang ke bumi yang bilangnya jauh lebih nyaman. Tuhan makbulkan.

Tapi Si Esah punya satu penyakit tak pernah rasa tercukupkan. Dah dihantar pulang, tiba-tiba dia mahu lagi tinggal di bulan. Eh! Esah, belum cukupkah?

Maka sekarang, diusahakan Si Esah sepenuh juang. Katanya mahu bina jalan kembali ke bulan, biar boleh dialik ulang antara bumi yang nyaman dengan bulan yang kelam. Di belajar Si Esah segala ilmu kejuruteraan semata mahu tunaikan impian membina jalan ke bulan. Kesian Si Esah, penatkan?

Tapi Si Esah seorang yang yakin diri. Si Esah yakin benar bulan takkan halang kalau dia mahu pulang. Semangat macam ni yang kita mahukan, Esah. Usaha gigih lagi, perlahan-lahan kayuh kata orang.

Aku?
Diam-diam.
Pandang Si Esah dari kejauhan.

Khamis, 2 Disember 2010

even more, everyday.



You know what makes me love you even more, everyday?

I can let you see the ugliest part of me,
but you still wake up in the morning and say.....

"Baby, I love you, more."

Peristiwa pagi.

Aku pandang ke luar tingkap kaca. Ada renjis-renjis halus embun melekat di permukaannya. Pandangan aku kabur-kabur sedikit dihalang dek kaca berkabus. Hati aku bertulip merah, ditanam bidadari tadi malam.
Dari kejauhan, diluar tingkap kaca, aku agak jaraknya mungkin cuma beberapa ela, kelihatan seorang pemuda cina dengan beg sandang lusuh terkocoh-kocoh berlari.

Laju lariannya.

Lajunya seperti ada anjing gila bertaring tajam dengan liur menjejes sedang mengejar pemuda itu dari belakang. Pantasnya seperti dihambat ceti haram dengan parang semata mahu menagih hutang piutang. Cepatnya lagak ada kekasih yang sudah mati dan tiba-tiba hidup kembali semata untuk mengambil dia pergi sedang menunggu didepan. Laju, betul laju. Beg sandang lusuh yang terhuyung hayang dibiarkan, pemuda itu cuma lari semahu hati. Makin lama, pemuda itu makin mendekat dengan aku. Seperti yang dikejar dia ada dengan aku. Makin dekat, makin dekat, dekat.....

Tiba-tiba....

(Ting Tong Ting Tong)

Ah! Tak sempat.
Pintu komuter dah tertutup dulu.

Oh! Patutlah.
Hehe.

Kesian dia, lambat lagi pergi kerja.

Rabu, 1 Disember 2010

semua orang suka cakap melebih-lebih, aku pon.

Dua minggu lepas, agaknyalah.
Aku terpandang satu video " Romantika di Kuala Lumpur " di facebook.
Aku baca komen-komen di bawah video.
Antaranya,

"Kalu ak ader kat ctu, ak lempang dak 2 ekor tu"
"Aku jumpa mcm ni depan aku, aku hantuk pale dua2 owg"
"Kalo itew, itew ludah je muke dowang"

Hem. Yelah, yelah korang.

...............................................................................................

Hari yang lain,
Aku keluar ofis lambat sedikit dari yang biasa-biasa dengan mood yang berbunga-bunga ( biasalah, orang bercinta. Kenapa? Kau jealous?)
Tunggu elarti lima minit.
Elarti sampai, aku masuk. Mata aku tangkap burung merpati 2 ekor sedang menyondol2, meraba-meraba mengalahkan orang buta. Siap laga-laga paruh, selamba.

Tapi, itu tak meghairankan sangat.
Yang lagi menghairankan, tak ada seorang pun berani menegur dua merpati yang tak ada ekor tengah menyondol. Termasuk aku.

Semua suka cakap melebih-lebih semata.