Isnin, 28 Mac 2011

Si kerdil dan Si naga merah jingga.

Dia duduk diam-diam di hujung meja sebelah utara, aku duduk menghadap dia di sebelah selatan. Kata dia, ada hal yang dia mahu bicara. Aku tunggu, tunggu apa yang dia mahu kata. Lima minit, senyap. Sepuluh minit, senyap lagi. Lima belas minit, akhirnya dia buka mulut, bersuara.

Aku mahu itu. Yang itu. Diunjukkan jari telunjuk tepat ke dada aku. Ada satu cincin stainless steel dijari manisnya. Cantik.

Ini? Aku tuding jari ke dada sebelah kanan.

Ya, Yang itu. Dia angguk-anggukan.

Sudah tak ada. Aku bilang. Sudah disimpan sang naga merah jingga.

Dia buat muka tak percaya. Aku sudah dapat mengagak.

Aku ambil kerambit sebelah kiri meja. Sudah aku letak kerambit disitu awal-awal. Sudah dapat diagak dia tak akan percaya yang hati aku sudah tak ada. Sudah disimpan naga.

Aku toreh dada perlahan-lahan. Darah menjejes. Aku buka dada luas-luas. Pedih, tak mengapa, aku mahu kasi dia lihat. Aku mahu dia percaya. Lihat ini, aku bilang. Sudah tak ada. Kosong. Kamu boleh lihat? Hati aku sudah disimpan naga merah jingga. Sumpah.

Dia terkejut. Biar aku tolong, kata dia. Tolong?, aku kata.

Dia bangun, ditekan-tekan jam serupa jam ultraman di tangan kirinya. beep beep, aku dengar jam itu berbunyi. Habis saja bunyi, keluar kepul-kepul asap putih. Mata aku pedih. aku kibas tangan cepat-cepat. Mahu hilangkan asap. Hilang saja kepul-kepul asap aku lihat dia sudah bertukar rupa. Sudah jadi cuma sebesar 10 sentimeter. Dia panjat meja, kemudian berpaut pada butang kemeja aku yang sudah berlumur dengan darah pekat. Habis satu baju aku memerah. Sampai ke belahan dada yang sudah terbuka, dia masuk. Dan kemudian hilang.

Sebelum itu dia tinggalkan satu nota kecil atas meja.

Dia tulis,

Tak mengapa kalau kau sudah tak punya hati.
Biar saja aku menetap di dada yang kosong ini.
Tak mengapa,
Aku jaga kau dari dalam. Diam- diam.

Lalu aku ambil jarum, aku jahit koyakan dada perlahan-lahan.
Aku biar dia terkurung didalam.

Dan hari-hari aku yang seterusnyanya sudah lagi tak sama,
Dalam aku sudah tak punya hati,
tapi ada si kerdil didalamnya yang buat aku terisi. Penuh.
Jadi sang naga,
simpanlah hati itu selama-lama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan