Rabu, 8 Disember 2010

Kisah Si Esah.

Ini kisah tentang Si Esah yang punya berat 60kg dengan yakin diri yang sangat tinggi. Si Esah dulu pernah dihantar tinggal di bulan. Dibiarkan hidup berteman bintang-bintang. Dibiar bertatapan dengan matahari terang. Dibiar lena diulit angkasa kelam.

Ya, Si Esah ini dulu pernah tinggal dibulan. Dahsyat bukan? Aku juga tak pasti berapa lama Si Esah diizin tuhan merasa nikmat di bulan.

Tapi,

Di suatu ketika yang entah bila, Si Esah tiba-tiba minta dibawa pulang ke bumi. Entah apa punca. Entah apa musabab. Di suatu ketika itu, Si Esah tiba-tiba jadi tak betah di bulan.

Katanya, angkasa terlampau kelam, dia tak mampu melihat terang.
Katanya lagi, matahari menghaba bahang, dia kepanasan.
Katanya lagi, bintang kadang-kadang suram, dia penat meraba dalam kegelapan.

Maka, diutus surat oleh Si Esah kepada tuhan. Minta dihantar pulang ke bumi yang bilangnya jauh lebih nyaman. Tuhan makbulkan.

Tapi Si Esah punya satu penyakit tak pernah rasa tercukupkan. Dah dihantar pulang, tiba-tiba dia mahu lagi tinggal di bulan. Eh! Esah, belum cukupkah?

Maka sekarang, diusahakan Si Esah sepenuh juang. Katanya mahu bina jalan kembali ke bulan, biar boleh dialik ulang antara bumi yang nyaman dengan bulan yang kelam. Di belajar Si Esah segala ilmu kejuruteraan semata mahu tunaikan impian membina jalan ke bulan. Kesian Si Esah, penatkan?

Tapi Si Esah seorang yang yakin diri. Si Esah yakin benar bulan takkan halang kalau dia mahu pulang. Semangat macam ni yang kita mahukan, Esah. Usaha gigih lagi, perlahan-lahan kayuh kata orang.

Aku?
Diam-diam.
Pandang Si Esah dari kejauhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan